Ahad, Julai 19, 2009

DINGIN

Sejak kecil memang daku suka akan dingin yang meresapi kalbu tatkala hujan. Jendela kamar sengaja kubuka luas-luas agar titis-titis hujan tempias ke wajah. Sesekali, mandi hujan bersama-sama adik-adik merupakan saat-saat indah menggembirakan.



Ah! Musim kanak-kanak terlalu ceria. Musim remaja penuh suka, duka, luka, cinta, rindu - sukar dimengertikan.




Dan kini, di daerah kecil ini, saban waktu aku berdepan dengan anak-anak, dengan remaja ... bolehkah anda bayangkan betapa dinginnya hatiku ini? Dingin dalam luka barangkali atau dingin dalam kepanasan membara?






Apapun, dinginnya hujan kali ini amat mendamaikan. Syukur Tuhan!
Entah berapa lama lagi dapat aku nikmati segala keindahan ini, wahai Tuhan!
Bersyukur aku akan nikmat-Mu!





Dingin. Damai. Nyaman. Tenteram.
Tersingkir segala resah dibasahi gerimis rindu kasih-Mu duhai Tuhanku!

Sabtu, Julai 04, 2009

CERPEN "UMBARA CINTA"

Syukur alhamdulillah, terima kasih kepada editor Dewan Siswa kerana menerima cerpen ini untuk disiarkan dalam ruangan "Cerpen Untuk Siswa" Dewan Siswa Julai 2009. Cerpen ini, cerpen kedua daku buat tahun ini. Jutaan terima kasih juga buat mentor Zaharah Nawawi dan Dr. Mawar Shafei yang mengkritik dan memberikan teguran membina tatkala bengkel Kepezi 2008 di UKM, sehingga memungkinkan cerpen ini layak untuk diterbitkan.

Sungguhpun saban waktu di sekolah, daku menerangkan tips-tips penulisan cemerlang buat anak-anak didik yang dikasihi, namun proses penghasilan karya kreatif agak berbeza. Sedikit titisan ilmu penulisan yang digarap tatkala Perkampungan Penulis Muda tempoh hari, ingin sekali daku kongsi bersama-sama anak-anak didik yang meminati bidang penulisan. Semoga hasrat murni Panitia Bahasa Melayu yang ingin menggerakkan penubuhan Kelab Penulis Muda sempena Bulan Bahasa dan Sastera Julai 2009, mendapat maklum balas positif daripada anak-anak didik di medan juang ini.

Dalam menelusuri era siber ini, sudah ramai penulis muda yang berlatarbelakangkan bidang kedoktoran, kejuruteraan, jurusan undang-undang, akauntan, usahawan, pakar motivasi, keagamaan dan pelbagai kerjaya profesional lain, menjadikan bidang penulisan sebagai wadah untuk menyalurkan informasi positif kepada masyarakat. Bukan sahaja bidang penulisan kreatif menjadi pilihan, malahan penulisan buku-buku ilmiah menjadi sumber inspirasi dan bahan rujukan paling berguna buat generasi madani yang perlu berdepan dengan 1001 cabaran.

Hal inilah yang barang kali tidak disedari oleh anak-anak didik di sekolah, yang ada masanya terlalu obses dengan budaya hiburan, leka bersantai di lubuk masa, tersenyum riang di pantai percintaan, mahupun sibuk menelaah pelajaran. Seandainya ada antara anak-anak didik yang masih berkesempatan membaca akhbar harian, majalah-majalah akademik, mahupun buku-buku motivasi atau novel-novel yang meluaskan horizon pemikiran -- tahniah cikgu ucapkan! Teruskanlah usaha murni kalian meneroka khazanah lautan ilmu!

Teringat cikgu pada intipati ceramah yang disampaikan oleh Nisah Haji Haron, penulis cerpen Annyss Sophillea, juga mantan peguam -- "Sewaktu di sekolah dahulu, saya akan cepat-cepat menghabiskan kerja rumah, kemudian membuka novel untuk dibaca. Pada hari Jumaat, saya akan ke perpustakaan untuk meminjam novel-novel yang lebih tebal untuk dibaca pada hari Sabtu dan Ahad." Konklusinya, budaya membacalah yang berjaya membentuk Nisah Haji Haron menjadi seorang penulis prolifik, dan dalam masa yang sama, berjaya melanjutkan pengajian hingga ke peringkat Sarjana Undang-Undang. Jadi sama-samalah kita meneruskan azam dan tekad kita untuk membaca dan terus membaca bahan-bahan berkualiti, yang mampu menjanakan imaginasi cemerlang!

Idea untuk penghasilan cerpen ini sudah pastinya diperoleh daripada peristiwa suka duka yang dilalui di medan ilmu.

Latihan lagu puisi + isu ponteng sekolah + kehangatan percintaan + perjalanan meneroka jati diri + kepentingan program motivasi = lahirlah cerpen Umbara Cinta istimewa buat tatapan anak-anak didik yang dikasihi.

Selamat Membaca! Semoga kalian berjaya mentafsir mesej tersirat di sebalik kehangatan Umbara Cinta.

SALAM INGATAN DARIPADA CIKGU. --
SALAM PERJUANGAN --

Jumaat, Julai 03, 2009

PERKAMPUNGAN PENULIS MUDA PERINGKAT NEGERI 2009 : LAWATAN KE MUZIUM ADAT

RAKAMAN MEMORI DI MUZIUM ADAT, JELEBU















Orang berbudi kita berbahasa,
Orang memberi kita merasa;
Sekalung budi seuntai bahasa,
Pusaka warisan budaya bangsa.