Memaparkan catatan dengan label bahasa. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label bahasa. Papar semua catatan

Khamis, Jun 11, 2009

PROMOSI BLOG: "TERATAK CIKGU DI UJANA ILMU"

SALAM MOTIVASI. SEMOGA HARI INI LEBIH BAIK BERBANDING SEMALAM.

Andainya ahli-ahli korporat bersaing mempromosikan produk syarikat di laman-laman web dan blog yang dikunjungi ratusan juta pengunjung, diri ini cuma ingin mempromosikan "bahan bantu pembelajaran alternatif" untuk mata pelajaran Bahasa Melayu Sijil Pelajaran Malaysia.

Tidak perlulah daku bermonolog panjang lebar tentang rentetan peristiwa suka duka yang mengilhamkan kewujudan blog kedua daku --- http://teratakcikgu.blogspot.com. Sememangnya perjuangan di medan ilmu sering disulami dengan tawa ceria, tangisan kepiluan dan doa kesyukuran. Semua peristiwa yang berlaku, usahlah dikenang-kenang, namun jadikanlah segala yang telah berlalu, pengajaran berharga buat membina kecemerlangan masa hadapan yang lebih bahagia dan bermakna.

APA YANG ADA DI TERATAK CIKGU ?

Kunjungan ke teratak cikgu membolehkan kalian menghayati dan mengalami sendiri pengalaman teknik-teknik untuk memantapkan penulisan karangan Bahasa Melayu SPM. Selain mengaplikasikan teknik yang diajar oleh guru di dalam kelas, informasi di teratak cikgu akan membolehkan pelajar mendapatkan maklumat tentang teknik penulisan karangan yang cemerlang. Informasi yang boleh diaplikasikan:
  1. Kaedah menulis pendahuluan yang menarik.
  2. Kaedah menghuraikan perenggan isi karangan.
  3. Kaedah menulis kesimpulan karangan.
  4. Koleksi frasa-frasa menarik.
  5. Koleksi kata-kata hikmat.
  6. Koleksi kata-kata motivasi.
  7. Koleksi peribahasa.
  8. Koleksi pendapat tokoh / madah pujangga.
  9. Koleksi hadis pilihan.
  10. Koleksi maksud ayat al-Quran.
Apa yang adik-adik tunggu lagi? Sudah puas bercuti, berehat, menonton televisyen, menonton video, beriadah, berekreasi, mengembara dengan rakan-rakan, berborak dan melepak, marilah berkunjung ke TERATAK CIKGU DI UJANA ILMU. Ajaklah kawan-kawan sekali.

SELAMAT DATANG!


Isnin, Jun 08, 2009

PERJUANGAN DI MEDAN ILMU

TAHUN 2008 : 5 SAINS DALAM KENANGAN


Memori mengajar anak-anak didik yang dikasihi di 5 Sains penuh dengan liku-liku suka dan duka. Ribuan kenangan pahit terukir di sanubari tatkala teknik-teknik penulisan karangan yang diajar, masih belum dikuasai sepenuhnya oleh bakal doktor, bakal arkitek, bakal jurutera, bakal saintis dan bakal pensyarah yang begitu tinggi daya intelektual dan daya kreativiti mereka.


Begitu bersungguh-sungguh dan bersemangat, daku menyediakan bahan-bahan pembelajaran untuk mereka. Begitu bersemangat pula mereka berdiskusi di dalam kelas ketika sesi Bersatu Kita Teguh, Bercerai Kita Roboh: setiap kumpulan begitu berkobar-kobar melaksanakan tugasan yang diamanahkan dan mencabar kesahihan jawapan rakan, demi memastikan kecemerlangan kumpulan.

Setiap kali peperiksaan berakhir, persoalan yang sama berlegar di minda: Mengapakah kecemerlangan yang mereka pamerkan ketika sesi pembelajaran di kelas, tidak berupaya diterjemahkan sepenuhnya ketika berjuang di medan peperiksaan?
Jauh di sudut hati, kusembunyikan pelangi duka kerana masih belum berjaya membimbing anak didik yang dikasihi meraih A1. Keputusan Peperiksaan Percubaan SPM mereka sungguh memilukan -- betapa penat lelah, jerih perih daku selama ini, terasa tercampak jauh ke lembah kekecewaan.

Kegagalan lalu terus dijadikan azimat berharga buat daku -- mengumpul kembali kekuatan, menemani anak-anak didik yang dikasihi, mengutip kembali cebis-cebis ilmu yang telah berselerak di jalanan. Ah! Cuma Tuhan tahu betapa pilunya hati ini -- hanya doa yang mampu kupohon semoga perjuangan ini diberkati.

Alhamdulillah, dengan izin-Mu jua Ilahi, A1 dan A2 akhirnya milik mereka.

  • Peluang menghampiri semua insan, tetapi hanya segelintir yang mampu menukar peluang kepada kejayaan.
  • Teruskanlah usaha kalian berjuang di medan ilmu. Buat anak didik yang beragama Islam, hati-hatilah menempuh onak duri kehidupan pada era globalisasi, semoga perjalanan hidup kalian diiringi reda dan kasih Ilahi.

SALAM INGATAN BUAT SEMUA ANAK DIDIK
YANG MASIH MENGINGATI DIRI INI

SALAM PERJUANGAN

PERJUANGAN MEMARTABATKAN BAHASA

Kita memupuk insan yang luhur budi
melalui tapisan hikmah berseni
dan buku memang tasik aneka ilmu
yang perlu diselami sejujur qalbu.

Buku mengasuh diri sasa bersuara
membaca menjadi jambatan bertuah
kita merindui buku dan ghairah baca
agar sentiasa canggih dan berhemah

("Merindu Buku", A Samad Said, 2005: 432-433)