Memaparkan catatan dengan label memori di medan ilmu. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label memori di medan ilmu. Papar semua catatan

Ahad, Julai 19, 2009

DINGIN

Sejak kecil memang daku suka akan dingin yang meresapi kalbu tatkala hujan. Jendela kamar sengaja kubuka luas-luas agar titis-titis hujan tempias ke wajah. Sesekali, mandi hujan bersama-sama adik-adik merupakan saat-saat indah menggembirakan.



Ah! Musim kanak-kanak terlalu ceria. Musim remaja penuh suka, duka, luka, cinta, rindu - sukar dimengertikan.




Dan kini, di daerah kecil ini, saban waktu aku berdepan dengan anak-anak, dengan remaja ... bolehkah anda bayangkan betapa dinginnya hatiku ini? Dingin dalam luka barangkali atau dingin dalam kepanasan membara?






Apapun, dinginnya hujan kali ini amat mendamaikan. Syukur Tuhan!
Entah berapa lama lagi dapat aku nikmati segala keindahan ini, wahai Tuhan!
Bersyukur aku akan nikmat-Mu!





Dingin. Damai. Nyaman. Tenteram.
Tersingkir segala resah dibasahi gerimis rindu kasih-Mu duhai Tuhanku!

Sabtu, Julai 04, 2009

CERPEN "UMBARA CINTA"

Syukur alhamdulillah, terima kasih kepada editor Dewan Siswa kerana menerima cerpen ini untuk disiarkan dalam ruangan "Cerpen Untuk Siswa" Dewan Siswa Julai 2009. Cerpen ini, cerpen kedua daku buat tahun ini. Jutaan terima kasih juga buat mentor Zaharah Nawawi dan Dr. Mawar Shafei yang mengkritik dan memberikan teguran membina tatkala bengkel Kepezi 2008 di UKM, sehingga memungkinkan cerpen ini layak untuk diterbitkan.

Sungguhpun saban waktu di sekolah, daku menerangkan tips-tips penulisan cemerlang buat anak-anak didik yang dikasihi, namun proses penghasilan karya kreatif agak berbeza. Sedikit titisan ilmu penulisan yang digarap tatkala Perkampungan Penulis Muda tempoh hari, ingin sekali daku kongsi bersama-sama anak-anak didik yang meminati bidang penulisan. Semoga hasrat murni Panitia Bahasa Melayu yang ingin menggerakkan penubuhan Kelab Penulis Muda sempena Bulan Bahasa dan Sastera Julai 2009, mendapat maklum balas positif daripada anak-anak didik di medan juang ini.

Dalam menelusuri era siber ini, sudah ramai penulis muda yang berlatarbelakangkan bidang kedoktoran, kejuruteraan, jurusan undang-undang, akauntan, usahawan, pakar motivasi, keagamaan dan pelbagai kerjaya profesional lain, menjadikan bidang penulisan sebagai wadah untuk menyalurkan informasi positif kepada masyarakat. Bukan sahaja bidang penulisan kreatif menjadi pilihan, malahan penulisan buku-buku ilmiah menjadi sumber inspirasi dan bahan rujukan paling berguna buat generasi madani yang perlu berdepan dengan 1001 cabaran.

Hal inilah yang barang kali tidak disedari oleh anak-anak didik di sekolah, yang ada masanya terlalu obses dengan budaya hiburan, leka bersantai di lubuk masa, tersenyum riang di pantai percintaan, mahupun sibuk menelaah pelajaran. Seandainya ada antara anak-anak didik yang masih berkesempatan membaca akhbar harian, majalah-majalah akademik, mahupun buku-buku motivasi atau novel-novel yang meluaskan horizon pemikiran -- tahniah cikgu ucapkan! Teruskanlah usaha murni kalian meneroka khazanah lautan ilmu!

Teringat cikgu pada intipati ceramah yang disampaikan oleh Nisah Haji Haron, penulis cerpen Annyss Sophillea, juga mantan peguam -- "Sewaktu di sekolah dahulu, saya akan cepat-cepat menghabiskan kerja rumah, kemudian membuka novel untuk dibaca. Pada hari Jumaat, saya akan ke perpustakaan untuk meminjam novel-novel yang lebih tebal untuk dibaca pada hari Sabtu dan Ahad." Konklusinya, budaya membacalah yang berjaya membentuk Nisah Haji Haron menjadi seorang penulis prolifik, dan dalam masa yang sama, berjaya melanjutkan pengajian hingga ke peringkat Sarjana Undang-Undang. Jadi sama-samalah kita meneruskan azam dan tekad kita untuk membaca dan terus membaca bahan-bahan berkualiti, yang mampu menjanakan imaginasi cemerlang!

Idea untuk penghasilan cerpen ini sudah pastinya diperoleh daripada peristiwa suka duka yang dilalui di medan ilmu.

Latihan lagu puisi + isu ponteng sekolah + kehangatan percintaan + perjalanan meneroka jati diri + kepentingan program motivasi = lahirlah cerpen Umbara Cinta istimewa buat tatapan anak-anak didik yang dikasihi.

Selamat Membaca! Semoga kalian berjaya mentafsir mesej tersirat di sebalik kehangatan Umbara Cinta.

SALAM INGATAN DARIPADA CIKGU. --
SALAM PERJUANGAN --

Jumaat, Julai 03, 2009

PERKAMPUNGAN PENULIS MUDA PERINGKAT NEGERI 2009 : LAWATAN KE MUZIUM ADAT

RAKAMAN MEMORI DI MUZIUM ADAT, JELEBU















Orang berbudi kita berbahasa,
Orang memberi kita merasa;
Sekalung budi seuntai bahasa,
Pusaka warisan budaya bangsa.









































































































Ahad, Jun 28, 2009

PERKAMPUNGAN PENULIS MUDA PERINGKAT NEGERI SEMBILAN 2009

WAJAH-WAJAH CERIA
PENULIS-PENULIS MUDA


Perkampungan Penulis Muda Peringkat Negeri Sembilan 2009 meninggalkan memori indah yang tertancap kukuh di danau hati. Betapa tidaknya, dari 24 Jun hingga 26 Jun 2009, hati ini terhibur dengan gelagat dan bakat anak-anak didik dari seluruh Negeri Sembilan -- bakal penulis muda yang meminati bidang penulisan kreatif. Sebagai fasilitator, sekalung tahniah daku ucapkan buat kalian, kerana mempamerkan kesungguhan jitu dan memberikan kerjasama erat untuk menjayakan semua aktiviti yang dirancangkan sepanjang sesi perkampungan.

Bakal penulis muda telah berpeluang menjana minda menerusi ceramah Penulisan Kreatif oleh Nisah Haron, ceramah Penulisan Cerpen oleh Puan Noor Shahida Mohd Yassin, Teknik Penceritaan dan Gaya Bahasa Berkesan oleh Encik Masri Karjah dan perkongsian pengalaman Tarian Tinta Sasterawan Muda oleh penulis muda dari SMK Seri Jempol.




PENULIS-PENULIS MUDA DARI SMK SERI
JEMPOL baru selesai menyampaikan sesi perkongsian pengalaman penghasilan
karya kreatif.

Turut memeriahkan suasana perkampungan ialah Lawatan ke Muzium Adat, Bengkel Penulisan Cerpen, Sesi Perbincangan Berkumpulan Untuk Persembahan Malam Kebudayaan, Persembahan Sketsa Malam Kebudayaan dan Pembentangan Hasil Bengkel.



BENGKEL PENULISAN CERPEN


Sewaktu peserta puteri berkobar-kobar
membincangkan plot cerpen,
putera-putera harapan bangsa berjaya menyusup keluar
dari Dewan Seri Purnama,
merakamkan potret tampan masing-masing.

Tidak cukup satu kumpulan ... satu kumpulan lagi berpeluang
merakamkan kehebatan aksi masing-masing.
Ada sesiapa di luar sana yang ingin berkenalan?

Menjaring ilham, menimba pengalaman.

AKTIVITI MENJANA KREATIVITI

Jawab, jangan tak jawab! Kita mesti menang kali ini.
Mesti menang!



PERJALANAN MENJEJAKI KEJAYAAN

Kumpulan kami: Kumpulan A. Samad Said bekerjasama
melengkapkan plot cerpen
untuk sesi pembentangan berkumpulan.

Peserta puteri kumpulan kami:
Saidatul Nadhirah, Hamizah, Nurizzati Syafiqah, Naruita Arianti,
Intan Nurfateha, Zunurain, Fatin Aqila, Nur Izzaty, Azurin Farhana.


Bersantai mencari ilham untuk tajuk cerpen.
Dari kiri: Mithradassa Nair, Hafiy, Zulkhairil Rafiq, Muhammad Shafiq.

BERJAYA AKHIRNYA!
Kumpulan A. Samad Said berjaya meraih
Naib Johan dalam
Pertandingan Sketsa Malam Kebudayaan
Perkampungan Penulis Muda
Peringkat Negeri Sembilan Tahun 2009

TAHNIAH BUAT ANAK-ANAK DIDIK
YANG MEMBERI KERJASAMA PADU
KEPADA CIKGU SEPANJANG SESI LATIHAN BERKUMPULAN.

MEMORI INDAH BERSAMA-SAMA KALIAN
TETAP TERUKIR ABADI DI LAMAN NURANI

SALAM INGATAN DARIPADA CIKGU.




Jumaat, Jun 19, 2009

LETIH TERSISA DI PENJURU MASA

Kali ini, daku terlalu letih untuk mencatat luahan rasa, kerana kadang kala keletihan emosi lebih menyeksakan berbanding keletihan fizikal. Letih emosi apabila 98% pelajar yang diajar, gagal, dalam peperiksaan; letih emosi melihat murid lelaki bertepuk tampar dengan murid perempuan, letih emosi melihat anak didik yang diharapkan cemerlang, mula melayari lautan percintaan, letih menatap murid yang keletihan ... tidur nyenyak di kelas (biarkanlah mereka, asalkan mereka bahagia?) Tahun demi tahun, senario yang sama .... berulang dan berulang.... TUHAN! BANTULAH DAKU!

Biasanya, keletihan emosiku sering kali pantas kuterjemahkan menjadi catatan puisi, catatan ayat-ayat untuk cerpen atau lakaran mimpi berwarna-warni di suram malam. Wajah anak-anak didik yang pelbagai ragam ada waktunya singgah di kamar mimpi .... aduhai .... alangkah !!!!

Rakan-rakanku di sekolah, pernah menitipkan pesan, "Don't take things too seriously!!" Waktu itu, aku sedang GERAM dengan pelbagai situasi "tidak keruan" yang berlaku di sekolah sepanjang bulan tersebut. AKU, pendidik yang kerdil ini sedang berkrisis dengan PENTADBIR ketika itu. (Apa yang berlaku biarlah rahsia. Segala-galanya telahpun berlaku. Barulah kutahu nilai dan harga diri seorang aku yang dipanggil GURU)

Aku hanya memprotes dalam hati: Jika selama ini, aku bertindak: "Don't take things too seriously!!" dan daku tidak bersungguh-sungguh memperbetul segala kesilapan yang murid-murid telah lakukan, keputusan BM SPM 2008 mana mungkin cemerlang. Jika aku bersikap tidak serius, tidak kisah, tidak mengapalah .... tidak mahu datang petang melatih murid untuk pertandingan, tidak mahu buat kelas tambahan, tidak mahu beri murid nota lengkap (bacalah buku rujukan .... memang berlambak-lambak di pasaran) .... bacalah sendiri .... Bahasa Melayu kan senang nak lulus .... apakah agaknya yang bakal berlaku? APA YA?

INSAN CUMA BERUSAHA, TUHAN JUA MENENTUKAN SEGALA-GALANYA. USAHLAH MEMBERATKAN FIKIRAN DENGAN HAL-HAL KEDUNIAAN, KERANA SEGALA-GALANYA DUGAAN UNTUK MENGUJI KEUTUHAN IMAN.

BENAR .... SEMUA ITU DUGAAN .... BERSABARLAH .....


Ahad, Jun 14, 2009

CABARAN DI MEDAN ILMU

SEKOLAH: SENDU RAKAMAN DARI CATATAN PERJALANAN



S : Suara-suara itu sukar ditafsir ronta gelodak rasa
E : Entah lahar dendam atau puing amarah bernanah
K : Kristal jiwa pecah
O : Onak ngeri bersipongang menari
L : Lantas menikam waras nubari
A : Atma hanyir luka
H : Hati parah derita


Ya Ilahi, berikanlah daku
kekuatan, ketabahan dan ketenangan
menghadapi riuh rendah suara-suara
kerana aura dan atma mereka
meredah jutaan ranjau perjalanan
demi memesrai cinta Yang Esa



"Dialah yang telah menciptakan bagi kamu pendengaran, penglihatan dan hati, tetapi amat sedikit kamu bersyukur." (Surah al-Mukminun: 78)

"Janganlah kamu menjatuhkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan, dan berbuat baiklah, kerana sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik."
(2: 195)

"Jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu, sesungguhnya Allah beserta orang yang sabar." (2: 153)

Isnin, Jun 08, 2009

PERJUANGAN DI MEDAN ILMU

TAHUN 2008 : 5 SAINS DALAM KENANGAN


Memori mengajar anak-anak didik yang dikasihi di 5 Sains penuh dengan liku-liku suka dan duka. Ribuan kenangan pahit terukir di sanubari tatkala teknik-teknik penulisan karangan yang diajar, masih belum dikuasai sepenuhnya oleh bakal doktor, bakal arkitek, bakal jurutera, bakal saintis dan bakal pensyarah yang begitu tinggi daya intelektual dan daya kreativiti mereka.


Begitu bersungguh-sungguh dan bersemangat, daku menyediakan bahan-bahan pembelajaran untuk mereka. Begitu bersemangat pula mereka berdiskusi di dalam kelas ketika sesi Bersatu Kita Teguh, Bercerai Kita Roboh: setiap kumpulan begitu berkobar-kobar melaksanakan tugasan yang diamanahkan dan mencabar kesahihan jawapan rakan, demi memastikan kecemerlangan kumpulan.

Setiap kali peperiksaan berakhir, persoalan yang sama berlegar di minda: Mengapakah kecemerlangan yang mereka pamerkan ketika sesi pembelajaran di kelas, tidak berupaya diterjemahkan sepenuhnya ketika berjuang di medan peperiksaan?
Jauh di sudut hati, kusembunyikan pelangi duka kerana masih belum berjaya membimbing anak didik yang dikasihi meraih A1. Keputusan Peperiksaan Percubaan SPM mereka sungguh memilukan -- betapa penat lelah, jerih perih daku selama ini, terasa tercampak jauh ke lembah kekecewaan.

Kegagalan lalu terus dijadikan azimat berharga buat daku -- mengumpul kembali kekuatan, menemani anak-anak didik yang dikasihi, mengutip kembali cebis-cebis ilmu yang telah berselerak di jalanan. Ah! Cuma Tuhan tahu betapa pilunya hati ini -- hanya doa yang mampu kupohon semoga perjuangan ini diberkati.

Alhamdulillah, dengan izin-Mu jua Ilahi, A1 dan A2 akhirnya milik mereka.

  • Peluang menghampiri semua insan, tetapi hanya segelintir yang mampu menukar peluang kepada kejayaan.
  • Teruskanlah usaha kalian berjuang di medan ilmu. Buat anak didik yang beragama Islam, hati-hatilah menempuh onak duri kehidupan pada era globalisasi, semoga perjalanan hidup kalian diiringi reda dan kasih Ilahi.

SALAM INGATAN BUAT SEMUA ANAK DIDIK
YANG MASIH MENGINGATI DIRI INI

SALAM PERJUANGAN