Selasa, Jun 09, 2009

BAHAGIA [ 1 ]

DI MANAKAH BAHAGIA?

Benarkah bahagia itu kepuasan di dalam hati? Bukankah manusia di dunia ini, tidak pernah berasa puas? Selagi manusia berada di dunia, selagi itulah masalah akan timbul. Manusia pasti berdepan dengan cabaran, dugaan, kekurangan dan ketidaksempurnaan. Nafsu manusia tidak pernah pudar, malah semakin ghairah mengejar kesempurnaan. Kurang popular, kurang tampan, kurang cantik, kurang kaya, kurang sihat, kurang bijak dan pelbagai kekurangan diri, membuktikan kehendak dan kemahuan manusia tidak ada penghujungnya.

Realitinya, sudah menjadi rule of life atau sunatullah bahawa manusia tidak akan mendapat semua perkara yang diingininya. Tidak ada seorang manusia pun, yang dapat mengelakkan diri daripada perkara yang tidak disenangi. Sesungguhnya, kita sebagai insan, perlu menyedari hakikat bahawa kehidupan di dunia merupakan ujian buat manusia, tanpa mengira pangkat, kedudukan, miskin, mahupun kaya. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud, "Dijadikan mati dan hidup untuk menguji manusia siapakah yang terbaik amalannya. (Surah Al-Mulk: 2)

BENARKAH MEREKA BAHAGIA?

Mereka yang kaya mungkin memiliki harta berjuta-juta ringgit, namun masih tidak mampu mengelakkan diri daripada sakit, tua dan mati. Christina Onasis, pewaris kekayaan ayahnya, Aristotle Onasis, mati pada usia muda walaupun memiliki harta berbilion-bilion dolar. Madonna dan Paris Hilton, walaupun gah menempa nama di seantero dunia, pernah dikeji akibat kelakuan buruk mereka. Lady Diana yang memiliki pakej wanita idaman, akhirnya meninggal dunia dalam senario yang begitu tragis. John Lennon tidak dapat mengelakkan dirinya daripada dibunuh, walaupun dipuja oleh jutaan peminat. Tidak dilupakan, mereka yang terjebak dalam kegiatan jenayah dan pelbagai masalah sosial yang kian meningkat pada era siber ini, membuktikan sinar kebahagiaan semakin jauh dari laman kehidupan. Tegasnya, pelbagai dugaan hidup telah menumpaskan ramai hartawan, cendekiawan, selebriti dan negarawan dalam perjalanan mencari kebahagiaan.

APAKAH ERTI BAHAGIA?

Hati yang tenang dalam menghadapi apa-apa jua ujian kehidupan merupakan sumber kebahagiaan. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud, "Ketahuilah dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang."
Rasulullah s.a.w. bersabda, yang bermaksud, "Bukanlah kekayaan itu dengan banyaknya harta benda, tetapi kekayaan itu sebenarnya ialah kaya hati." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Kaya hati bermaksud hati yang tenang, lapang dan merasa cukup dengan apa-apa sahaja yang dimiliki. Bersyukur dengan apa yang ada dan bersabar dengan apa yang tiada. Oleh sebab itu, bersama-samalah kita "membersihkan" dan "memelihara" hati agar lahir sifat-sifat mahmudah seperti amanah, sabar, syukur, reda dan pemaaf. Kita akan bertemu kemuncak kebahagiaan apabila hati mampu mendorong kita melakukan kebaikan dan menghindari larangan yang ditentukan oleh agama. Apabila kita berjaya melakukan segalanya itu dengan mudah, tanpa dipaksa-paksa dan bersusah-payah, maka itulah hakikat akhlak mulia, bak kata Imam Al-Ghazali.

TERUSKANLAH PERJUANGAN





Tiada ulasan: