Isnin, Jun 08, 2009

PERJUANGAN DI MEDAN ILMU

TAHUN 2008 : 5 SAINS DALAM KENANGAN


Memori mengajar anak-anak didik yang dikasihi di 5 Sains penuh dengan liku-liku suka dan duka. Ribuan kenangan pahit terukir di sanubari tatkala teknik-teknik penulisan karangan yang diajar, masih belum dikuasai sepenuhnya oleh bakal doktor, bakal arkitek, bakal jurutera, bakal saintis dan bakal pensyarah yang begitu tinggi daya intelektual dan daya kreativiti mereka.


Begitu bersungguh-sungguh dan bersemangat, daku menyediakan bahan-bahan pembelajaran untuk mereka. Begitu bersemangat pula mereka berdiskusi di dalam kelas ketika sesi Bersatu Kita Teguh, Bercerai Kita Roboh: setiap kumpulan begitu berkobar-kobar melaksanakan tugasan yang diamanahkan dan mencabar kesahihan jawapan rakan, demi memastikan kecemerlangan kumpulan.

Setiap kali peperiksaan berakhir, persoalan yang sama berlegar di minda: Mengapakah kecemerlangan yang mereka pamerkan ketika sesi pembelajaran di kelas, tidak berupaya diterjemahkan sepenuhnya ketika berjuang di medan peperiksaan?
Jauh di sudut hati, kusembunyikan pelangi duka kerana masih belum berjaya membimbing anak didik yang dikasihi meraih A1. Keputusan Peperiksaan Percubaan SPM mereka sungguh memilukan -- betapa penat lelah, jerih perih daku selama ini, terasa tercampak jauh ke lembah kekecewaan.

Kegagalan lalu terus dijadikan azimat berharga buat daku -- mengumpul kembali kekuatan, menemani anak-anak didik yang dikasihi, mengutip kembali cebis-cebis ilmu yang telah berselerak di jalanan. Ah! Cuma Tuhan tahu betapa pilunya hati ini -- hanya doa yang mampu kupohon semoga perjuangan ini diberkati.

Alhamdulillah, dengan izin-Mu jua Ilahi, A1 dan A2 akhirnya milik mereka.

  • Peluang menghampiri semua insan, tetapi hanya segelintir yang mampu menukar peluang kepada kejayaan.
  • Teruskanlah usaha kalian berjuang di medan ilmu. Buat anak didik yang beragama Islam, hati-hatilah menempuh onak duri kehidupan pada era globalisasi, semoga perjalanan hidup kalian diiringi reda dan kasih Ilahi.

SALAM INGATAN BUAT SEMUA ANAK DIDIK
YANG MASIH MENGINGATI DIRI INI

SALAM PERJUANGAN

5 ulasan:

Suliza Sujas berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.
Tinta Siber berkata...

Kenangan bersama cikgu tidak akan kami lupakan. Terima kasih cikgu, atas segala-galanya. Doakan kejayaan kami, dalam menempuh perjuangan seterusnya.

Kembara-sepi berkata...

Sememangnya, suka atau duka, pahit atau pilu -- sudah semestinya ranjau tersedia buat seorang guru. Tanpa anak didik yang dikasihi, seorang insan tidak akan bergelar guru. Moga berjaya dalam perjuangan seterusnya!

Tinta Siber berkata...

Zaman persekolahan memang best. Jika tidak kerana cikgu, mana mungkin kami berjaya. TQ CIKGU!

Kembara-sepi berkata...

Cikgu hanya membimbing. Yang menentukan kejayaan kalian ialah kegigihan kalian sendiri, diiringi doa berterusan daripada ibu bapa dan guru. Bersyukurlah atas setiap kejayaan, kerana Tuhan jua yang menentukan segala-galanya. Tuhan Maha Pengasih lagi Maha Penyayang!