Jumaat, Jun 12, 2009

BAHAGIA (2)

KAEDAH MENCARI BAHAGIA MENURUT AL-QURAN DAN SUNAH

1. BERIMAN DAN BERAMAL SOLEH

"Siapa yang beramal soleh baik laki-laki ataupun perempuan, dalam keadaan ia beriman, maka Kami akan memberikan kepadanya kehidupan yang baik dan Kami akan membalas mereka dengan pahala yang lebih baik daripada apa yang mereka amalkan." (Surah al-Nahl: 97)

Ali bin Abi Thalhah dari Ibnu 'Abbas, meriwayatkan bahawa kehidupan yang baik itu ialah kebahagiaan.

2. BANYAK MENGINGATI ALLAH

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: "Ketahuilah dengan mengingat (berzikir) kepada Allah, akan tenang hati itu." (Surah al-Ra'd: 28)

3. BERSANDAR HARAP KEPADA ALLAH

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: "Siapa yang bertawakal kepada Allah maka Allah akan mencukupinya." (Surah al-Thalaq: 3)

4.
SENTIASA MENCARI PELUANG BERBUAT BAIK

Berbuat baik kepada makhluk dalam bentuk ucapan ataupun dengan perbuatan yang ikhlas, semata-mata mengharapkan pahala daripada Allah akan memberi ketenangan hati.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: "Tidak ada kebaikan dalam kebanyakan bisikan-bisikan mereka, kecuali bisikan-bisikan daripada orang yang menyuruh (manusia) untuk bersedekah atau berbuat kebaikan dan ketaatan atau memperbaiki hubungan antara manusia. Barang siapa melakukan hal itu kerana mengharapkan keredaan Allah, nescaya kelak Kami akan berikan padanya pahala yang besar." (Surah al-Nisa': 114)

5. TIDAK PANJANG ANGAN-ANGAN TENTANG MASA HADAPAN DAN TIDAK MERATAPI MASA SILAM

Fikir, tetapi jangan khuatir. Jangan banyak berangan-angan tentang masa hadapan yang belum pasti. Hal ini akan menimbulkan rasa gelisah disebabkan seseorang itu akan memikirkan tentang kesukaran yang belum tentu datang. Begitu juga, janganlah terus meratapi kegagalan dan kepahitan masa lalu, kerana apa-apa yang telah berlalu, tidak mungkin dapat dikembalikan semula.

Rasulullah s.a.w. bersabda: "Bersemangatlah untuk memperoleh apa-apa yang bermanfaat bagimu dan minta tolonglah kepada Allah dan janganlah lemah. Apabila menimpamu (dari perkara yang tidak disukai) janganlah engkau berkata: Seandainya aku melakukan ini, nescaya akan begini dan begitu. Akan tetapi, katakanlah, Allah telah menetapkan dan apa yang Dia inginkan, Dia akan lakukan. Sesungguhnya kalimat 'seandainya' itu, membuka amalan syaitan."
(Riwayat Muslim)

6. MELIHAT "KELEBIHAN" DAN BUKANNYA KEKURANGAN DIRI

Rasulullah s.a.w. bersabda: "Lihatlah orang yang di bawah kamu dan jangan melihat orang yang di atas kamu, kerana dengan (melihat ke bawah) lebih mudah untuk kamu tidak meremehkan nikmat Allah yang dilimpahkan-Nya kepada kamu." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

7. JANGAN MENGHARAPKAN UCAPAN TERIMA KASIH MANUSIA

Ketika melakukan sesuatu kebaikan, janganlah mengharapkan balasan manusia. Sebaliknya, berharaplah hanya kepada Allah. Para cendekiawan ada mengatakan, janganlah mengharapkan ucapan terima kasih, kerana umumnya, manusia tidak pandai berterima kasih.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: "Sesungguhnya kami memberi makan kepada kamu hanyalah kerana Allah semata-mata, kami tidak berkehendakkan sebarang balasan daripada kamu atau ucapan terima kasih." (Surah al-Insan: 9)

(Dipetik dari majalah Solusi, Jun 2009)


1 ulasan:

seruling emas berkata...

Wassaalamualaiki!
Semoga doa anda dimalbulkan Tuhan. Doa-doa daripada orang-orang yang soleh dan solehah, insya-Allah dimakbulkan Tuhan.

MPR memanglah destinasi utama saya dalam bidang penulisan setakat ini. Moga terkabul impian saya.

Terima kasih kerana memberi dorongan dan semangat kepada saya untuk terus memartabatkan sastera dan bahasa ibunda^_^