Rabu, Jun 10, 2009

CUTI OH CUTI

Andainya dua minggu ketika cuti sekolah, diri ini benar-benar bercuti, melepaskan lelah dari segala kesibukan, duhai, alangkah indahnya! Begitulah persepsi segelintir masyarakat terhadap kerjaya seorang guru. Bagi mereka, seronoknya guru berehat ketika cuti sekolah. Benarkah begitu? Benarkah insan yang bergelar "cikgu" bercuti sepenuhnya daripada kesibukan tugasan kerja-kerja sekolah yang sememangnya tidak pernah selesai?

Selagi Tuhan mengurniakan keizinan-Nya untuk seorang insan bergelar guru, menapak di dunia yang fana ini, tiada istilah "cuti" bagi seorang guru. Hari-hari cuti yang berlalu pergi, turut menyaksikan seorang guru menanda skrip-skrip peperiksaan, menanda buku-buku latihan, menyediakan nota-nota untuk semester berikutnya, mengemaskinikan fail-fail yang tidak sempat dikemaskinikan di sekolah, berdepan dengan komputer memasukkan markah-markah peperiksaan dan pelbagai tugasan rencam lain yang berkaitan dengan dunia pendidikan. Andainya disenaraikan, memang nampak sedikit, namun untuk melaksanakan segala tugasan itu dengan penuh komitmen dan dedikasi, cuma Tuhan sahaja yang mengerti, cabaran yang dihadapi. Apatah lagi, ada waktu-waktunya, hati terguris pedih mengenangkan keputusan peperiksaan anak didik yang amat tidak memuaskan dan sikap pelajar era siber yang tidak menghargai penat lelah perjuangan guru di medan ilmu.

Ah! Begitulah adat dunia, asam garam kehidupan, dan liku-liku dugaan yang perlu dihadapi dengan penuh kesabaran, bertemankan sinar keredaan Ilahi. Ada kalanya sehingga santak petang mahupun lewat malam, seorang guru masih berdiskusi dengan anak didik, dan pada waktu yang sama, melayan kerenah anak sendiri. Ada masanya, kepentingan anak-anak didik didahulukan berbanding keperluan anak sendiri. Usah dipertikaikan kehendak takdir!

Buat anak-anak didik yang dikasihi dan warga pelajar di mana-mana sahaja anda berada, hargailah segala detik masa yang kalian tempuhi di medan ilmu. Sesungguhnya, manusia itu sentiasa berada dalam kerugian, melainkan mereka yang beramal soleh, yang berpegang teguh dengan kesabaran dan berterusan membuat kebaikan. Ikhlaskanlah niat menuntut ilmu, yakinlah akan kemampuan diri sendiri dan hargailah kehebatan minda yang telah Tuhan kurniakan buat kalian. Kalian berjuang hanya dengan pen, tinta, kertas, buku, teknologi terkini dan minda sedangkan rakan seperjuangan di negara lain, berjuang di medan perang -- bila-bila masa sahaja mereka akan rebah dek tembakan musuh durjana.

SEMOGA KEHADIRAN SEMESTER KEDUA DAPAT KALIAN TEMPUHI
DENGAN
JEJAK LANGKAH YANG MURNI DAN HATI YANG SUCI.
SALAM INGATAN.


TERUSKANLAH PERJUANGAN.

Tiada ulasan: